Keratan Akhbar Berita Harian

I'm Not Single cabaran baru buat Piere Andre
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

David Teo yakin anak Khatijah Tan mampu dekatkan filem arahannya dengan jiwa remaja

FILEM pertama arahannya, 9 September belum ditayangkan tetapi pengarah muda, Pierre Andre sudah diberi kepercayaan Pengarah Urusan Metrowealth Movies Produciton (MMP), David Teo, mengarahkan filem kedua, I'm Not Single yang bergenre komedi romantik.

Jika dalam filem 9 September, Pierre melakukan tiga kerja iaitu menulis skrip, mengarah dan berlakon sebaliknya dalam I'm Not Single, anak kepada pelakon hebat, Khatijah Tan itu tidak mahu dibebani banyak kerja yang menyebabkannya boleh hilang tumpuan pada pengarahan.


Lisa Surihani

I'm Not Single yang masih mengekalkan Pierre sebagai penulis skrip membariskan pelakon popular seperti Farid Kamil, Intan Ladyana, Awal Ashaari serta memperkenalkan seorang model iklan, Lisa Surihani. Mereka dibantu oleh Cat Farish, Khatijah Tan, M Rajoli, Azizah Mahzan dan Yusni Jaafar. Filem berkenaan turut menyaksikan penampilan khas produser, David Teo bersama Ahmad Idham.

Pierre akui sukar melakukan dua kerja dalam satu masa dan memilih untuk menumpukan perhatian pada kerja di belakang tabir untuk filem kali ini.

"Saya berterima kasih pada David yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mengemudi filem I'm Not Single selepas melihat hasil kerja filem pertama arahan saya, 9 September.

"Saya tidak mahu hilang tumpuan apabila turut berlakon dalam filem ini, jadi adalah lebih baik saya memberikan peluang kepada pelakon lain. Saya sentiasa belajar daripada pengalaman, terlalu banyak tugasan yang perlu dilakukan apabila berlakon dalam masa yang sama, turut mengarah.

"Bukan saya tidak mampu melakukannya, semuanya sudah terbukti apabila penggambaran filem 9 September siap pada waktu yang ditetapkan, cuma saya rasa kalau tak dibebani banyak kerja, saya boleh lebih kreatif. Ini adalah filem yang paling cepat skripnya disiapkan. Saya hanya mengambil masa selama dua minggu dan tak sangka, David menerimanya," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran filem I'm Not Single di Restoran Lemon, Kajang, baru-baru ini.

Kata Pierre, filem I'm Not Single adalah ideanya dan dia mendapatkan khidmat nasihat pengarah berbakat, Ahmad Idham bagi memenuhi nilai komersial. I'm Not Single akan menjalani penggambaran sekitar Lembah Klang dan Bukit Fraser selama sebulan bermula 11 Ogos ini.

David berkata, Pierre dipilih menerajui filem berkenaan kerana dilihat mampu mendekatkan filem arahannya dengan jiwa remaja yang menjadi sasaran utama filem ke-25 terbitan MMP yang menelan belanja RM1.5 juta itu.

"Saya percaya dengan kemampuan Pierre selepas memberi peluang kepadanya mengarahkan filem 9 September. Walaupun filem itu belum ditayangkan, tapi saya yakin dengan kemampuannya.

"Pierre akan menjadi pengarah muda yang bagus sekiranya penerbit memberi lebih banyak peluang kepadanya mengarahkan filem. Saya mahu Pierre jadi pelapis pengarah baru pada masa akan datang.

"Saya lihat Pierre, seorang yang sentiasa bersedia untuk belajar. Saya percaya dengan sikap murah hati, sedia ditegur dan mengetepikan rasa ego. Pierre boleh pergi jauh dalam dunia pengarahan. Dia hanya memiliki diploma dalam bidang teater, bukan bidang pengarahan, tapi Pierre seorang suka belajar.

"Saya sebagai penerbit akan memberi peluang kepada sesiapa pun yang sedia ditegur, mahu belajar, boleh terima nasihat dan paling penting, berdisiplin jika mereka duduk di kerusi pengarah," katanya.

Sementara itu, model iklan yang diketengahkan sebagai pelakon, Lisa berkata, dia bukanlah baru dalam bidang seni, sebaliknya menjadi model iklan, pelakon dan pengacara sudah bermula sejak berusia 11 tahun lagi.

Bagaimanapun, katanya, dia kerap kali menerima tawaran berlakon drama serta filem Inggeris. Ini adalah filem bahasa Melayu pertama yang ditawarkan kepadanya selepas filem pertama, Goodbye Boys arahan Bernard Chauly, dua tahun lalu.

"Saya hanya muncul dalam beberapa drama Melayu seperti Gergasi, Fobia dan Ayah Kami, selebihnya adalah drama dalam bahasa Inggeris. Saya sebenarnya terikat dengan pelajaran, jadi kesempatan untuk berlakon adalah terhad.

"Selepas menghabiskan penggambaran filem I'm Not Single, saya akan berlepas ke United Kingdom melanjutkan pengajian selama setahun dalam bidang undang-undang. Mungkin selepas ini, barulah saya akan fikir sama ada saya meneruskan kerjaya sebagai anak seni atau peguam," kata gadis berdarah Bugis itu.

SINPOSIS:

I'm Not Single memaparkan kisah Maya lakonan Lisa dan Adam (Farid Kamil) yang dipaksa berkahwin pada usia muda kerana rancangan nenek mereka yang bersahabat baik. Walaupun saling membenci dan tiada perasaan cinta, Adam dan Lisa tiada alasan untuk membantah. Maya pula sudah mempunyai teman lelaki, Dani. Mereka saling mencintai dan Dani tidak dapat menerima hakikat Maya akan jadi milik orang lain. Percutian bulan madu di rumah pusaka keluarga Adam bukanlah rancangan yang baik. Pelbagai peristiwa lucu yang mencuit hati berlaku sepanjang mereka tinggal bersama.