Keratan Akhbar Harian Metro

23 June 2008 : Harian Metro
PIERRE DEKATI JIWA REMAJA

Oleh Mohd Nasif Badruddin

GENRE romantik komedi terus menjadi pilihan pelakon, pengarah dan penulis skrip muda, Pierre Andre apabila dia menghasilkan buah tangan terbarunya berjudul I'm Not Single sekali gus menjadi filem kedua arahannya selepas 9 September.

I'm Not Single bukan sekadar menampilkan isu yang lebih sensasi dan bakal menyentuh jiwa penonton, malah Pierre sendiri dilihat mampu mendekatkan filem yang diarahkan dengan jiwa remaja yang menjadi sasaran utama filem ini di samping keistimewaan jalan ceritanya.

Pierre berkata, skrip ini sudah lama disimpannya dan baru kini berjaya direalisasikan dalam bentuk filem. Berbeza dengan skrip 9 September apabila Pierre turut berlakon dan mengarah, kali ini dia hanya memfokuskan bidang pengarahan berdasarkan skrip yang dihasilkan dan tidak berlakon sekali.

"Saya mahu memberi perhatian penuh terhadap filem ini dari segi pengarahan dan tidak berlakon. Saya berterima kasih kepada David Teo yang memberi peluang kepada saya mengarah filem kedua selepas 9 September juga di bawah produksi Metrowealth Movies Production (MMP).

"Mesej ceritanya ringan dan boleh diterima ramai sesuai situasi sekarang. Malah genre romantik komedi adalah jiwa saya yang turut menjadi pilihan ramai penonton menyaksikan cerita sebegini di pawagam.

"Cerita yang baik saja tidak cukup lengkap sekiranya tidak mempunyai lagu tema yang dihasilkan khusus untuk cerita. Jadi dengan adanya lagu tema I'm Not Single daripada Dakmie, saya yakin ia akan menguatkan lagi filem ini," katanya pada pelancaran album soundtrack I'm Not Single di Restoran Lemon, Selayang baru-baru ini.

Bagi memantapkan penceritaan filem I'm Not Single, empat lagu dicipta khas sesuai jalan cerita dan mood yang diketengahkan dalam filem ini. Dari empat lagu itu, tiga daripadanya dicipta Dakmie berjudul Dua Jiwa, Layar dan Kembalikan Kasih manakala satu lagi dicipta oleh Brian Ng berjudul Yang Terindah. Namun kesemuanya mendapat sentuhan lirik oleh Dakmie sendiri yang juga penyanyinya.

I'm Not Single memaparkan kisah Maya lakonan Lisa Surihani dan Adam (Farid Kamil) yang dipaksa berkahwin pada usia muda kerana rancangan nenek mereka yang bersahabat baik. Walaupun saling membenci dan tiada perasaan cinta, Adam dan Lisa tiada alasan untuk membantah.

Maya pula sudah mempunyai teman lelaki, Dani. Mereka saling mencintai dan Dani tidak dapat menerima hakikat Maya akan jadi milik orang lain. Percutian bulan madu di rumah pusaka keluarga Adam bukanlah rancangan yang baik. Pelbagai peristiwa lucu yang mencuit hati berlaku sepanjang mereka tinggal bersama.

Filem yang menelan belanja RM1.5 juta serta menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang dan Bukit Fraser, Pahang ini akan mula menemui penonton di pawagam mulai 24 Julai ini.

Selain Lisa Surihani, Farid Kamil, Intan Ladyana dan Awal Ashaari sebagai peneraju utama, filem ini turut dibintangi David Teo, Ahmad Idham, Cat Farish, Rusminah Sidek, Datuk Jalaluddin Hassan, Fadzilah Mansor, Aznah Hamid dan Hafizudin Fadzil.

Bagi pelakon jelita Lisa Surihani pula, filem pertamanya bersama MMP memberi pengalaman berbeza sepanjang kariernya bergelar pelakon. Katanya, watak Maya yang dipikulnya sangat mencabar apatah lagi ia menuntutnya banyak bermain dengan emosi.

"Saya bertuah dapat beraksi di samping Farid Kamil, Awal Ashaari dan ramai lagi barisan pelakon berpengalaman. Bekerja di bawah Pierre juga cukup menyenangkan. Dia pengarah muda yang sangat berani dan kreatif.

"Membintangi filem ini membuatkan minat saya terhadap bidang ini semakin menebal. Mulanya saya agak kekok di lokasi kerana watak Maya menuntut penjiwaan yang sangat mendalam. Misalnya, untuk menggambarkan kesedihan saya tidak perlu menangis tapi ia ditonjolkan menerusi ekspresi wajah dan emosi.

"Sebagai orang baru, ia bukan satu perkara yang mudah. Nasib baik, Pierre dan yang lain banyak membantu. Mereka tidak lokek ilmu dan sentiasa terbuka menerima sebarang idea," katanya.

Sementara itu Penerbit MMP, David Teo, berkata dia mempunyai alasan kukuh mengekalkan Pierre sebagai pengarah. Selain bakat, Pierre dilihat mampu mendekatkan filem yang diarahkan dengan jiwa remaja yang menjadi sasaran utama filem ini.

"Saya berterima kasih dan gembira kerana semua kru dan artis dapat menjayakan filem mengikut jadual dan bajet yang ditetapkan. Dengan hasil kerjasama berkumpulan, saya yakin filem ini akan mendapat sambutan ramai dan mencapai kutipan yang memberangsangkan.

"Saya bukannya penerbit yang syok sendiri apabila berlakon sama dalam filem I'm Not Single, tetapi hanya sekadar penampilan istimewa mengikut skrip yang dihasilkan pengarah. Sebelum ini pun ada penerbit yang menawarkan saya berlakon, tetapi terpaksa menolak kerana sibuk dengan pelbagai urusan," katanya.