Keratan Akhbar Utusan Malaysia

Kredit : Dipetik dari Utusan Malaysia, 14 Julai 2008

I'm Not Single uji kematangan Pierre Posted: 13 Jul 2008 01:29 PM CDT

KALI pertama menduduki kerusi pengarah pada usia 21 tahun mengarahkan filem pertamanya, 9 September mengundang pelbagai reaksi. Sudah menjadi adat, ada yang memuji, tidak kurang pula yang mengeji.

Namun, bagi anak muda berjiwa besar ini, dia lebih senang untuk berpegang pada prinsip - baik dijadikan teladan dan yang buruk itu dijadikan sempadan dalam meneruskan cita-citanya menjadi seorang pengarah tersohor satu hari nanti.

Kritikan yang diterima itu juga sebenarnya banyak membantu Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre atau Pierre Andre untuk memperbaiki segala kelemahan dalam 9 September untuk memberikan hasil yang lebih baik menerusi filem kedua arahannya, I'm Not Single (INS) yang akan mula menemui penonton bermula 24 Julai ini.

Menerusi INS, kata anak kacukan Melayu-Serani ini, dia lebih fokus memandangkan konsentrasinya kali ini adalah kepada kerja pengarahan berbanding 9 September menyaksikan dia melakukan semua kerja dalam satu masa.

Meskipun terpaksa melepaskan watak Adam yang dilakonkan oleh Farid Kamil dalam filem INS, hanya kerana mahu menghasilkan karya yang terbaik, dia harus berkorban.

"Sewaktu menulis skrip filem ini, memang saya mahu sangat melakonkan watak itu kerana sedikit sebanyak ia ada persamaan dengan diri saya. Tetapi, dalam masa yang sama, saya tidak mahu peranan itu membuat saya hilang fokus.

"Mahu tidak mahu, saya harus lakukan pengorbanan ini dan apa yang pasti, saya berpuas hati dengan apa yang telah saya persembahkan untuk INS," kata bekas graduan Aswara berusia 23 tahun ini memulakan bicaranya.

Bercerita tentang INS, anak kepada seniwati Khatijah Tan ini memberitahu pendekatan kali ini berbeza dengan 9 September ini apabila INS lebih kemas dan teratur berbanding filem pertamanya yang disifatkannya sebagai sebuah filem komedi kasar.

"Saya mahu pelbagaikan teknik pengarahan saya dan tidak malu untuk saya katakan 9 September, coraknya lebih kepada komedi yang sering ditonjolkan dalam drama mahupun filem Korea.

"Tetapi, kali ini, INS lebih lembut dan saya pasti penonton akan dapat melihat perbezaannya. Malah, kali ini juga saya memperbanyakkan shot berbanding 9 September yang mana shotnya telah ditetapkan sehingga agak menyukarkan saya apabila membuat penyuntingan," tuturnya penuh hemat.

Ditanya idea timbulnya menghasilkan INS, Pierre yang mula mencipta nama menerusi filem Salon ini memberitahu, dia mahu melihat bagaimana anak muda zaman ini berdepan dengan situasi apabila perkahwinan mereka telah diatur oleh keluarga.

"Jadi, dalam filem ini, saya tonjolkan bagaimana permasalahan itu diatasi kerana zaman ini, agak sukar untuk anak muda menerima hakikat apabila perkahwinan mereka diatur," katanya lagi.
Dalam pada itu, jelas Pierre, dia puas menghasilkan skrip sendiri kerana ia menuntut kehendak seperti mana yang dimahukannya.

Mungkin ramai yang tidak tahu, sebelum ini, nama Pierre terpalit dengan lumpur kontroversi apabila skrip hasil tulisannya dikatakan menciplak hasil karya orang lain. Dia menafikan sekeras-keras dakwaan yang disifatkan tidak berasas itu.

"Kadang-kala, ia membuatkan saya menjadi takut untuk menghasilkan skrip lagi kerana bimbang ada orang akan mendakwa skrip itu adalah miliknya.

"Macam INS ini pun, ada orang samakan dengan drama bersiri Indonesia, Kawin Muda lakonan Agnes Monica walhal skrip INS disiapkan terlebih dahulu sebelum drama berkenaan disiarkan tidak berapa lama dulu," jelas Pierre panjang lebar.

Saat ditanya tentang lakonan dua pelakon utama INS iaitu Farid Kamil dan Lisa Surihani yang memegang watak sebagai Adam dan Maya, selaku pengarah, dia berpuas hati dengan dua bintang muda itu yang merealisasikan apa yang diinginkannya.

Tambahan pula, keserasian bersama Farid sudah wujud sekian lama kerana mereka sudah membintangi empat buah filem bersama.

"Agak sukar juga apabila mengarahkan Farid kerana dia jauh lebih senior daripada saya tetapi dia menyakinkan saya, bahawa dia sedia ditegur dan diberi tunjuk ajar. Lisa pula, saya melihat dia seorang pelakon baru yang perlu diberi perhatian.

"Walaupun ada kekurangan dalam dirinya terutama untuk babak yang memerlukan penghayatan, tetapi saya percaya dengan tunjuk ajar, dia boleh pergi jauh. Malah, dia juga senang dibentuk," ujarnya yang sudah pun membintangi 15 buah filem baik watak utama mahupun pembantu.

Saat ditebak dengan pertanyaan seandainya INS akan menerima kritikan yang hebat selepas ini, Pierre dengan optimis memberitahu, dia sudah melakukan yang terbaik dan terpulang kepada penonton untuk menilainya.

"Mereka membayar RM10 untuk menonton dan ia menjadi hak mereka untuk mengkritik dan menjadi hakim dalam menilai hasil kerja saya. Tidak perlu apa yang saya perlu risau kerana saya sedar bukan mudah nak puaskan hati semua orang. Apa yang penting, saya akan terus belajar dan memberikan yang terbaik untuk filem-filem yang akan datang," kata peminat setia Johnny Depp ini yang baru sahaja menyelesaikan filem ketiganya, Jangan Tegur.

Dalam perkembangan lain, Pierre memberitahu dia juga kini sibuk dilokasi filem terbarunya, Teman Selamanya yang membawanya jauh berkelana ke bumi Jakarta.

Mengakui ia merupakan satu pengalaman yang cukup indah serta membuka peluang menjual bakatnya di negara jiran dan banyak yang telah dipelajarinya sepanjang beberapa hari di lokasi.

"Bekerja dengan mereka sememangnya sangat profesional dan kami dilayan sama rata dengan layanan lima bintang. Malah, cara mereka juga bekerja agak pantas namun hasilnya cukup baik," kata Pierre tentang filem usahasama Astro Shaw dan Tarantula Pictures itu lagi.

Merupakan sebuah filem komedi arahan Rako Prijanto yang sebelum ini mengarahkan filem Ungu Violet, selain Pierre yang memegang watak Farid, ia turut dibintangi oleh pelakon jelita, Julia Ziegler dan pelakon komedi terkenal Indonesia iaitu Tora Sudiro.

Bercerita tentang bayaran yang diterimanya untuk filem berkenaan, Pierre memberitahu itu bukanlah yang diutamakannya tetapi lebih kepada pengalaman yang tidak boleh dijual beli.

"Saya tidak begitu mementingkan bayaran apabila kali pertama berlakon filem. Ia juga sama seperti mana saya berlakon filem Salon. Yang saya utamakan adalah pengalaman kerana itu lebih penting dan berharga," jelas Pierre yang dilahirkan pada 17 Mac 1985 itu.

Selain Farid dan Lisa, INS yang menelan belanja RM1.5 juta itu turut dibintangi oleh Awal Ashaari yang memegang watak sebagai Dani, Intan Ladyana (Lisa), Datuk Jalaludin Hassan (Borhan), Hafizuddin Fadzil (Ghani), Aznah Hamid (Zana), Fadilah Mansor (Sue), Ruminah Sidek (Opah) serta kemunculan khas David Teo dan Ahmad Idham.